PRU16: Sabah Perlu Tentukan Hala Tuju Sendiri


PAPAR – Armizan Mohd Ali menegaskan Sabah perlu berani menentukan hala tuju politiknya sendiri dan tidak lagi sekadar menjadi penumpang dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata landskap politik negara ketika ini membuka ruang besar untuk Sabah membuat keputusan sendiri.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 membuktikan tiada satu gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan secara bersendirian dengan majoriti kukuh.

“Dalam keadaan itu, Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan strategik. Persoalannya, adakah kita mahu terus menjadi pelengkap atau penumpang, atau kita mahu menjadi satu blok yang boleh membuat keputusan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di Papar.

Armizan menegaskan, untuk mencapai kedudukan tersebut, Sabah perlu memperkukuhkan kesatuan politik khususnya dalam kalangan parti tempatan supaya mempunyai jumlah kerusi mencukupi bagi menentukan pendirian sendiri.

Katanya, tanpa kesatuan dan kekuatan kerusi yang signifikan, Sabah akan terus berada dalam posisi bergantung kepada pihak lain.

“Kita perlu bertanding dan menang atas satu kesepakatan yang kuat. Apabila kita mempunyai jumlah kerusi yang besar, kita boleh menentukan pendirian sendiri dan memastikan agenda Sabah menjadi sebahagian daripada agenda utama kerajaan,” katanya.

Beliau turut menyatakan kecenderungan rakyat terhadap parti tempatan dalam pilihan raya negeri lalu adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahu pendekatan lebih berasaskan kepentingan negeri.

“Menjadi penentu kerajaan itu penting, tetapi lebih penting ialah bagaimana kita menggunakan kedudukan itu untuk memastikan kepentingan Sabah benar-benar dilaksanakan,” katanya.


Sumber: Sayang Sabah, 28 Februari 2026

Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q

Related

Sabah 8402986876340542393

Post a Comment

emo-but-icon

Follow Us

Popular

Terbaru

Komen

Side Ads

Text Widget

Connect Us

item