Zaid: Blok Borneo Berpotensi ‘Kawal’ Malaya


KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Zaid Ibrahim mendakwa Sabah dan Sarawak kini berada dalam kedudukan strategik untuk “mengawal” Malaya menerusi perancangan politik dikenali sebagai Blok Borneo.

Menurut beliau, pembentukan Blok Borneo bukan sekadar untuk mendapatkan imbangan kuasa di Parlimen, sebaliknya bertujuan memperkukuh kedudukan politik kedua-dua negeri dalam landskap nasional bagi jangka panjang.

Beliau turut merujuk kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menurutnya telah memberikan terma tertentu kepada Sabah dan Sarawak hasil rundingan awal sebelum pembentukan Malaysia.

Katanya, sehingga hari ini kedua-dua negeri mempunyai kuasa tertentu termasuk dalam hal imigresen dan kawalan kemasukan rakyat dari Semenanjung.

Zaid turut menyentuh beberapa isu berkaitan MA63 yang menurut pemimpin Sabah dan Sarawak masih belum diselesaikan sepenuhnya, termasuk tuntutan hasil negeri serta perkara berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Menurut beliau, tuntutan berterusan termasuk dakwaan hak 40 peratus hasil negeri menunjukkan usaha memperkukuh kedudukan tawar-menawar politik.

“Mereka menyatakan Blok Borneo untuk mewujudkan keseimbangan dan kuasa rundingan. Namun pada pandangan saya, mereka sudah pun mempunyai kedudukan itu dan kini mahu lebih daripada sekadar imbangan,” katanya.

Beliau juga menyindir kepimpinan politik di Semenanjung yang menurutnya lebih tertumpu kepada persaingan jawatan berbanding memperkukuh kedudukan rantau secara kolektif.

Tambahnya, dengan kerjasama politik lebih tersusun antara parti di Sabah dan Sarawak serta tuntutan tambahan kerusi Parlimen, Blok Borneo berpotensi menjadi kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan Persekutuan pada masa depan.


Sumber: Sayang Sabah, 2 Mac 2026

Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q

Related

undangindang 759034700235665264

Post a Comment

emo-but-icon

Follow Us

Popular

Terbaru

Komen

Side Ads

Text Widget

Connect Us

item