Lelaki Dakwa Rugi RM1.5 Juta Dalam Skim Tanah Tidak Wujud
SEREMBAN – Polis menerima laporan seorang lelaki berusia 56 tahun yang mendakwa kerugian RM1.5 juta selepas diperdaya seorang pelakon wanita dan suaminya dalam urusan penjualan tanah lot kurnia di Selangor yang didakwa tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim berkata laporan dibuat pada 7 Januari lalu dan siasatan masih dijalankan.
Menurut beliau, pelakon berkenaan bersama suaminya kini dipercayai berada di Sarawak dan telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki serta dimasukkan dalam Senarai Pemantauan Khas Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap.
Kes berkenaan membabitkan dakwaan penjualan tanah kurniaan Negeri Selangor yang tidak wujud, menyebabkan mangsa mengalami kerugian besar.
Sebelum ini, media turut melaporkan seorang usahawan produk kecantikan mendakwa kerugian sekitar RM300,000 akibat penipuan melibatkan individu sama. Mangsa lain pula didakwa mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit.
Pendedahan dibuat menerusi media sosial, yang turut memuat naik tangkap layar mesej dan maklumat pengenalan diri individu terlibat.
Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam urusan pembelian tanah atau pelaburan serta memastikan kesahihan dokumen dan status hak milik sebelum membuat sebarang bayaran.
Sumber: Berita Harian, 3 Mac 2026
Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q
.jpg)