Formula Lama Tidak Lagi Relevan, Kata Salleh


KOTA KINABALU – Pendekatan lama yang menetapkan Barisan Nasional (BN) mesti bertanding sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah kerusi pilihan raya disifatkan sudah tidak lagi sesuai dengan realiti politik semasa.

Bendahari UMNO Sabah, Salleh Said Keruak berkata formula berkenaan lahir dalam era politik dominasi yang berbeza dengan landskap hari ini yang lebih kompleks dan berasaskan kerjasama antara gabungan parti.

Menurut beliau, kebergantungan kepada angka semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan, malah boleh menjejaskan usaha membina kesepakatan strategik dengan rakan politik.

“Idea lama bahawa BN mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi sudah tidak lagi relevan. Politik hari ini bukan lagi soal dominasi, tetapi soal membina persefahaman dan kestabilan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut menyokong kenyataan Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir berhubung penjenamaan semula gabungan itu yang disifatkan tepat pada masanya.

Salleh menegaskan penjenamaan semula tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya perlu mencerminkan perubahan cara berfikir, strategi serta budaya politik yang lebih pragmatik.

Katanya, dalam suasana politik berasaskan rundingan dan kerjasama strategik, kekuatan sesebuah gabungan tidak lagi diukur melalui jumlah kerusi ditandingi, tetapi kemampuan membentuk kerajaan stabil yang diyakini rakyat.

“Pengundi kini mahukan dasar jelas, hala tuju ekonomi meyakinkan, integriti serta penyelesaian praktikal,” katanya.

Beliau berpandangan pembaharuan BN perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan keupayaan bekerjasama dengan rakan gabungan.

“Penjenamaan sebenar bermaksud beralih daripada simbol kepada substansi, atau daripada mengejar angka kepada memberi hasil,” katanya.


Sumber: Info X, 2 Mac 2026

Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q

Related

politik 9153507054588646342

Post a Comment

emo-but-icon

Follow Us

Popular

Terbaru

Komen

Side Ads

Text Widget

Connect Us

item