Vesel Pukat Jerut Ditahan di Kunak
LAHAD DATU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi dengan lesen tamat temp...
LAHAD DATU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi dengan lesen tamat tempoh di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 4.45 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Pangkalan Kunak oleh bot ronda yang sedang melaksanakan operasi rutin.
Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong warga Filipina berusia 37 tahun bersama dua kru berumur 27 dan 34 tahun. Kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati lesen vesel berkenaan telah tamat tempoh.
Menurut beliau, kegagalan memperbaharui lesen bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan kawalan serta pengurusan sumber perikanan negara.
Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan. Rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara.
Vesel, kru serta hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Komuniti maritim turut digesa supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999.
Sumber: Sabah Media, 3 Mac 2026
Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q
