Wira Pangi Terima Motor Baharu
TENOM – Enam anak muda dari Kampung Pangi dipuji atas tindakan berani mereka meletakkan motosikal troli di atas landasan bagi memperlahankan sebuah tren yang dilaporkan mengalami kegagalan brek.
Menurut laporan Sabah First Info pada 4 Mac 2026, tindakan pantas itu berjaya mengelakkan kemungkinan tragedi lebih besar apabila tren yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi gagal dikawal sepenuhnya oleh pemandunya.
Keberanian mereka mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang bersetuju menyumbangkan motosikal baharu sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan tersebut.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim selepas kejadian dilaporkan.
Beliau menjelaskan, tanpa tindakan meletakkan motosikal troli di atas landasan, kemungkinan kejadian lebih buruk boleh berlaku kerana tren berkenaan tidak dapat dikawal sepenuhnya.
Jamawi turut memuji ketenangan pemandu tren yang berjaya mengawal keadaan tanpa panik sehingga situasi kembali stabil. Beliau menyifatkan enam anak muda bersama pemandu tren sebagai wira tidak didendang yang wajar dihargai.
Dalam masa sama, penghargaan turut diberikan kepada guru-guru SK Pangi yang terus berkhidmat di kawasan pedalaman walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Sumber: Sabah First Info, 4 Mac 2026
Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q
.jpg)