Serangan Israel ke atas depot minyak Iran cetus asap tebal, bandar Tehran seakan kiamat


Penduduk di ibu negara Iran dikejutkan dengan suasana luar biasa apabila langit Tehran menjadi gelap pada pagi Ahad selepas beberapa depot minyak dilaporkan terkena serangan Israel.

Kepulan asap hitam tebal daripada kebakaran di depot bahan api menyebabkan cahaya matahari hampir tidak kelihatan, sehingga ramai penduduk terpaksa menyalakan lampu walaupun pada waktu pagi.

Seorang pemandu tempatan berusia sekitar 50 tahun berkata beliau pada mulanya menyangka jam penggera rosak kerana keadaan di luar masih gelap seperti waktu malam.

Menurut laporan media antarabangsa, asap kebakaran merebak ke seluruh bandar Tehran yang mempunyai lebih 10 juta penduduk. Kenderaan di jalan utama seperti Jalan Valiasr turut terpaksa menyalakan lampu hadapan bagi memastikan perjalanan selamat dalam keadaan suram.

Serangan itu dilaporkan menyasarkan kemudahan penyimpanan bahan api yang didakwa digunakan untuk menyokong infrastruktur ketenteraan. Beberapa depot minyak dan sebuah tapak logistik petroleum di sekitar Tehran turut terkena serangan.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera di salah satu lokasi yang terjejas, walaupun angka sebenar masih belum dapat disahkan sepenuhnya.

Kebakaran dilaporkan terus marak lebih 12 jam selepas serangan, dengan bunyi letupan kecil masih kedengaran di kawasan depot.

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran turut memberi amaran bahawa asap daripada kebakaran itu mengandungi bahan toksik seperti hidrokarbon, sulfur dan oksida nitrogen yang boleh menjejaskan sistem pernafasan serta menyebabkan kerengsaan mata.

Penduduk dinasihatkan supaya kekal berada di dalam rumah bagi mengelakkan pendedahan kepada asap berbahaya.

Akibat serangan tersebut, pengagihan bahan api di Tehran turut terganggu sementara. Pihak berkuasa mengehadkan pembelian bahan api kepada 20 liter bagi setiap kenderaan, menyebabkan barisan panjang kenderaan terbentuk di beberapa stesen minyak.

Konflik di Asia Barat itu semakin memuncak selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada hujung minggu lalu, sekali gus mencetuskan ketegangan yang semakin meluas di rantau berkenaan.

Walaupun keadaan pada awal konflik menyebabkan Tehran kelihatan seperti bandar hantu, kehidupan di bandar itu kini perlahan-lahan kembali dengan lebih ramai orang keluar bekerja dan beberapa kedai mula dibuka semula.

Sumber: Berita Harian / AFP (9 Mac 2026)

Ikuti kami di Whatsapp
https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q

Related

Konflik Antarabangsa 1949549701385348569

Post a Comment

emo-but-icon

Popular

Terbaru

Komen

banner
item