Polis serbu rumah di Labuan dipercayai pusat panggilan penipuan dalam talian
Seramai 13 warga China ditahan polis selepas sebuah rumah dua tingkat di Jalan Pulau Buah, Labuan disyaki dijadikan pusat panggilan untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.
Serbuan dilakukan sekitar 12.45 tengah malam pada 28 Februari lalu oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata serbuan dijalankan selepas pihak berkuasa menerima aduan orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
Hasil operasi itu, polis menahan 12 lelaki dan seorang wanita warga China berusia antara 26 hingga 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan melalui pusat panggilan.
Siasatan awal mendapati semua suspek memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, namun empat daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ketika tangkapan dibuat.
Dalam operasi sama, pihak polis turut merampas 21 set komputer dan 83 unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan semua suspek direman untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Sabah.
Empat lelaki turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala dua lelaki dan seorang wanita didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Semua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Labuan bagi pertuduhan masing-masing.
Polis menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam jenayah penipuan dalam talian dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Sumber: KupiKupi FM (Info X), 6 Mac 2026
Ikuti kami di Whatsapp
https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q
.jpg)

