Peti Sejuk Boleh Jadi Bahaya
Ramai dalam kalangan kita beranggapan selagi makanan disimpan di dalam peti sejuk, semuanya selamat dimakan.
Namun hakikatnya, cara penyimpanan yang salah boleh menyebabkan peti sejuk menjadi tempat pembiakan bakteria tanpa disedari.
Menurut perkongsian kesihatan awam, terdapat beberapa kesilapan biasa yang sering berlaku di rumah dan boleh meningkatkan risiko keracunan makanan.
1. Titisan daripada daging mentah
Ayam, ikan atau daging mentah sering dibalut dengan plastik nipis dan diletakkan di rak atas.
Apabila ais mencair, air daripada bahan mentah yang mungkin mengandungi bakteria seperti Salmonella boleh menitis ke rak bawah.
Lebih membimbangkan, titisan ini boleh terkena sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan lain yang tidak ditutup dengan sempurna. Situasi ini dikenali sebagai pencemaran silang dan antara punca utama keracunan makanan.
2. Bakteria Listeria masih boleh hidup
Ramai beranggapan suhu sejuk mampu menghentikan semua bakteria. Namun bakteria Listeria monocytogenes masih boleh membiak walaupun dalam peti sejuk.
Jangkitan bakteria ini boleh memberi kesan serius seperti keguguran dalam kalangan ibu hamil serta jangkitan otak pada bayi.
Ia sering dikaitkan dengan produk tenusu yang tidak dipasteur, sosej serta sayur-sayuran tercemar.
3. Peti sejuk terlalu penuh
Satu lagi kesilapan biasa ialah menyumbat terlalu banyak makanan di dalam peti sejuk.
Apabila ruang terlalu sesak, udara sejuk tidak dapat beredar dengan baik dan mewujudkan kawasan yang lebih suam. Suhu tidak sekata ini membolehkan bakteria kembali aktif dan mempercepatkan kerosakan makanan.
Cara susunan yang lebih selamat
Rak atas: Makanan yang sudah siap dimakan seperti baki lauk, kek dan buah.
Rak bawah: Daging, ayam dan ikan mentah yang disimpan dalam bekas bertutup rapat.
Susunan yang betul bukan sahaja menjaga kebersihan makanan, malah membantu melindungi kesihatan seluruh keluarga.
Sumber: mStar, 4 Mac 2026
Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q
.jpg)