PKR tuntut RM10 juta setiap individu selepas 16 wakil rakyat tinggalkan parti
Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap 16 bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu kerana didakwa melanggar syarat bon selepas meninggalkan parti.
Tindakan undang-undang tersebut difailkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, bagi pihak parti melalui firma guaman Tetuan Messrs Nav & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam saman berkenaan, PKR menuntut ganti rugi RM10 juta daripada setiap defendan yang didakwa melanggar syarat bon selepas meninggalkan parti kira-kira dua tahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.
Antara individu yang dinamakan sebagai defendan ialah Baru Bian, Datuk Kamarudin Jaffar, Datuk Mansor Othman, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Seri Dr R Santhara Kumar.
Turut disenaraikan ialah Datuk Abdul Yunus Jamhari, Datuk Azman Nasrudin, Dr Afif Bahardin, Dr Chong Fat Full, Dr Daroyah Alwi, Haniza Mohamed Talha, Muhammad Hilman Idham, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Dr Robert Ling Kui Ee dan Zulkifli Ibrahim.
Menurut pernyataan tuntutan, setiap defendan telah menandatangani bon yang mewajibkan mereka membayar RM10 juta kepada parti sekiranya berlaku beberapa keadaan tertentu, termasuk meletakkan jawatan daripada parti, menyertai parti lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
PKR mendakwa pada 24 Februari 2020, kesemua defendan telah berhenti menjadi ahli parti walaupun dipilih sebagai wakil rakyat di bawah panji PKR.
Parti itu juga memaklumkan bahawa pada 11 Mac 2020, keahlian mereka ditamatkan secara rasmi dan sijil pengesahan penamatan dikeluarkan pada 16 Mac 2020.
Bagaimanapun, walaupun tuntutan rasmi pembayaran bon telah dihantar pada 28 Julai 2020, kesemua defendan didakwa gagal menjelaskan bayaran berkenaan.
Sehubungan itu, PKR memohon mahkamah mengarahkan defendan membayar jumlah bon RM10 juta setiap seorang, selain kos, faedah serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mahkamah menetapkan 17 dan 27 Mac sebagai tarikh pengurusan kes bagi kedua-dua tindakan saman tersebut.
Sumber: Berita Harian / BERNAMA, 6 Mac 2026
Ikuti kami di Whatsapp
https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q
.jpg)

