Najib Kawal SRC Melalui Proksi
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa mengawal dan mentadbir SRC International Sdn Bhd sama ada secara langsung atau melalui bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
Bekas pengarah SRC, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memberi keterangan bahawa Nik Faisal yang dilantik sebagai pengarah dan CEO bertindak sebagai proksi kepada Najib serta menjadi penghubung antara bekas Perdana Menteri itu dengan lembaga pengarah syarikat.
Menurut beliau, segala kertas cadangan dan keputusan penting dibentangkan oleh Nik Faisal kepada lembaga, dan setiap arahan yang disampaikan dianggap mewakili keputusan Najib. Malah, semua pengarah didakwa perlu mematuhi arahan tersebut sebagaimana diminitkan dalam mesyuarat pemegang saham yang ditandatangani sendiri oleh Najib.
Shahrol turut memaklumkan bahawa keputusan penting berkaitan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dibuat oleh Najib, dan beliau sebagai pengarah tidak mempunyai kuasa membuat keputusan kewangan utama.
Kenyataan itu dibuat dalam perbicaraan saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap Najib pada tahun 2021.
Shahrol menafikan dakwaan bahawa beliau bertindak secara penipuan, cuai atau bersekongkol dalam penyelewengan dana. Beliau juga menegaskan tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan berkaitan kehilangan dana tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung hari ini.
Sumber: Bernama, 4 Mac 2026
Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q
.jpg)