Bantuan Khas Dibayar 13 Mac
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan bahawa Bayaran Bantuan Khas Kewangan Tahun 2026 kepada penjawat awam dan pesara akan dibuat pada 13 Mac 2026 (Jumaat).
Perkara tersebut dinyatakan dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bil. 1/2026 yang menerangkan tatacara pelaksanaan pembayaran bantuan khas tersebut.
Menurut pekeliling berkenaan, kementerian dan jabatan kerajaan hendaklah membuat pembayaran menggunakan peruntukan tahun 2026. Sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi, permohonan tambahan perlu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan Malaysia.
Selain itu, setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) juga perlu memastikan semakan dibuat dengan teliti bagi menentukan pegawai yang layak menerima bantuan tersebut, termasuk memastikan dokumen sokongan lengkap dan mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dari segi kaedah pembayaran, bantuan khas ini akan disalurkan melalui Sistem Emolumen Berkomputer, dengan pejabat perakaunan bertanggungjawab mengeluarkan laporan penerima serta mengemas kini data penerima dalam sistem setelah pengesahan dibuat oleh PTJ.
Bantuan khas ini merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara.
Sumber: Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bil.1/2026
Ikuti kami di Whatsapp https://whatsapp.com/channel/0029VbBMcA2Id7nDqyjW4B1q


